Tuesday, July 3, 2007

Mantap Akidah Hindari Ajaran Songsang [2]

Demi Allah! Ini bukan suatu fitnah tetapi suatu pembongkaran ilmiah bertujuan menjaga kesucian islam dan umatnya daripada ajaran songsang mengkafirkan dan menghalalkan darah umat islam untuk dibunuh.
Ketahuilah bahawa ajaran Wahhabi diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab 1206H sehingga mendorong pengikutnya mengkafirkan umat islam dan menghalalkan darah mereka serta membid’ahkan selain dari mereka.
Sudah tentu kita bertanya, adakah kenyataan ini benar?
Para pengkaji kebenaran sekalian,

Sudah pasti manusia yang lebih mengenali perihal Muhammad bin Abdul Wahhab bukan saya mahupun kita dizaman kini. Pastinya yang lebih mengenalinya adalah saudara kandungnya dan bapanya sendiri. Mari kita menyingkap kenyataan mereka berdua:


Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab.
Saudara kandungnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab sering memberi peringatan kepada umat islam dizamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin Abdul Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama islam serta mengkafirkan umat islam. (Sebagai bukti sila rujuk 2 kitab karangan Syeikh Sulaiman tersebut: “Fashlul Khitob Fir Roddi ‘Ala Muhammad bin Abdul Wahhab” dan ” Sawaiqul Ilahiyah Fi Roddi ‘Ala Wahhabiyah”).

Syeikh Abdul Wahhab.
Bapanya juga iaitu Abdul Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu islam dan beliau menyatakan kepada para ulama: “Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ini”. (Sebagai bukti sila rujuk kitab “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” cetakan Maktabah Imam Ahmad m/s 275).


Demikianlah saudara kandungnya sendiri mengingatkan umat islam
agar berwaspada dengan ajaran TAKFIR yang dibawa oleh
Muhammad bin Abdul Wahhab.
Kenyataan Para Mufti Perihal Wahhabi.
1) Mufti Mazhab Hambali : Muhammad bin Abdullah bin Hamid An-Najdy 1225H yang hampir waktu hidupnya dengan Muhammad Bin Abdul Wahhab menyatakan dalam kitabnya As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah m/s 276 :
“Apabila ulama menjelaskan hujah kepada Muhammad bin Abdullah Wahhab dan dia tidak mampu menjawabnya serta tidak mampu membunuhnya maka dia akan menghantar seseorang untuk membunuh ulama tersebut kerana dianggap sesiapa yang tidak sependapat dengannnya adalah kafir dan halal darahnya untuk dibunuh”.
2) Ini pula Mufti Mazhab Syafi’e: Ahmad bin Zaini Dahlan 1304H yang lebih mengenali Muhammad Bin Abdul Wahhab yang mana Mufti tersebut juga merupakan tokoh ulama Mekah pada zaman Sultan Abdul Hamid menyatakan dalam kitabnya Ad-Durarus Saniyyah Fir Roddi ‘Alal Wahhabiyah m/s 42:

Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin Abdul Wahhab berkata: “Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik”.
Sejarah pula membuktikan Wahhabi telah membunuh keturunan Rasulullah serta menyembelih kanak-kanak kecil di pangkuan ibunya ketikamana mereka mula-mula memasuki Kota Taif. (Sila rujuk Kitab Umaro’ Al-bilaadul Haram m/s 297 – 298 cetakan Ad-Dar Al-Muttahidah Lin-Nasyr).
Wahhabi Menghukum Sesat Dan Membid’ahkan Para Ulama’ Islam.

Wahhabi bukan sahaja mengkafirkan umat Islam dan menghalalkan darah mereka tetapi Wahhabi turut membid’ahkan dan menghukum akidah ulama’ Islam sebagai terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.
Demikian kenyataan Wahhabi :
1) Disisi Wahhabi, akidah Imam Nawawi dan Ibnu Hajar Al-Asqolany bukan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Tokoh terkemuka ajaran Wahhabi iaitu Muhammad bin Soleh Al-Uthaimien menyatakan apabila ditanya mengenai Syeikh Imam Nawawi (Pengarang kitab Syarah Sohih Muslim) dan Amirul Mu’minien Fil Hadith Syeikh Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany (Pengarang Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari) lantas dia menjawab: “Mengenai pegangan Nawawi dan Ibnu Hajar dalam Asma’ Was Sifat (iaitu akidah) mereka berdua bukan dikalangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah”. Rujuk kitabnya Liqa’ Al-Babil Maftuh m/s 42-43 soal-jawab ke 373 cetakan Darul Watan Lin-Nasyr.

2) Wahhabi Menghukum Al-Asya’iroh Sebagai Sesat Dan Kafir. Tokoh Wahhabi Abdur Rahman bin Hasan Aal-As-Syeikh mengkafirkan golongan Al-Asya’iroh yang merupakan pegangan umat islam di Malaysia dan di negara-negara lain. Rujuk kitabnya Fathul Majid Syarh Kitab Al-Tauhid m/s 353 cetakan Maktabah Darus Salam Riyadh.
Seorang lagi tokoh Wahhabi iaitu Soleh bin Fauzan Al-Fauzan turut menghukum golongan Al-Asya’iroh sebagai sesat akidah dan bukan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Rujuk kitabnya Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam m/s 32 cetakan Riasah ‘Ammah Lil Ifta’ Riyadh.
3) Wahhabi Mengkafirkan Umat Islam Yang Mengikut Mazhab. Dan Mengkafirkan Saidatuna Hawa (Ibu manusia). Wahhabi bukan sahaja menghukum sesat terhadap ulama’ Islam bahkan umat islam yang mengikut mazhab pun turut dikafirkan dan dihukum sebagai musyrik dengan kenyataannya:
“Mengikut mana-mana mazhab adalah syirik”.

Dan Wahhabi ini berani juga mengkafirkan Ibu bani adam iaitu Saidatuna Hawa dengan kenyataannya selepas itu:
“Sesungguhnya syirik itu berlaku kepada Hawa”

Tokoh Wahhabi tersebut Muhammad Al-Qanuji antara yang hampir dengan Muhammad bin Abdul Wahhab. Rujuk kenyataannya dalam kitabnya Ad-Din Al-Kholis juzuk 1 m/s 140 dan 160 cetakan Darul Kutub Ilmiah.



Selepas ini, adakah mereka yang membawa ajaran menyandarkan bagi Allah itu sifat yang menyerupai makhlukNya akan digelar sebagai benar?! Adakah mereka yang mengkafirkan umat islam dan menyesatkan ulama islam dinamakan sebagai berfahaman As-Sunnah?! Sedangkan Nabi pembawa sunnah tidak pernah mengatakan Allah itu bersifat duduk, malangnya golongan Wahhabiyah menyifatkan Allah dengan sifat tersebut yang tidak pernah dinyatakan dalam As-Sunnah Rasul yang sohih!.

Mengenai dakwaan Dr. Yusuf Qardawi dan ramai ulama Azhar amat menyanjung tinggi akan Ibnu Taimiah dan Muhammad Abdul Wahhab maka saya menyatakan :
“Yang lebih mengenali mereka adalah ulama dizamannya dan bukan kita. Telahpun dinyatakan siapa dan kenyatan-kenyataan mereka di atas berdasarkan hadith Nabi yang bermaksud : “Bukanlah khabar berita yang kita dengar itu setajam mereka yang melihat sendiri” . Hr. Ibnu Hibban.

Manakala sekiranya ada mana-mana pujian dari sesiapa yang dilabelkan sebagai ulama terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab ianya tidak semestinya menghukum kebatilan yang terbit dari Muhammad bin Abdul Wahhab dan Ibnu Taimiyah itu sebagai benar dan haq!

Manakala penjelasan dari ulama Al-Azhar mengenai ajaran Wahhabiyah ini eloklah dirujuk kepada ulama Al-Azhar sendiri yang kini merupakan Mufti negara Mesir iaitu As-Syeikh Dr. Ali Jum’ah yang dirakam oleh anak murid beliau dan disebarkan oleh umat islam china di:

http://www.islamchina.net/arabic/Mufti_Misr_talk_about_wahhabi.htm
Dalam kenyatann Mufti Mesir dalam audio tersebut beliau menjelaskan seperti berikut (terjemahan):
”Ditanya kepadaku, adakah harus solat di dalam masjid yang ada (dhorih) kubur?. Ya! sememang solat di dalam masjid wujudnya kubur adalah harus dalilnya kerana solat di dalam masjid Rasulullah adalah harus (wujud didalamnya 3 kubur)”.
Maka fatwa mengenai solat di dalam masjid dalamnya ada kubur adalah harus kerana hukum solat di dalam masjid Rasulullah telahpun menjadi ijmak muslimun bahawa hukumnya adalah harus. Sekiranya dikatakan hukum itu khas bagi nabi sahaja, itu tidak sohih kerana didalam masjid nabawi terdapat kubur selain nabi Muhammad iaitu kubur saidina Umar dan Saidina Abu Bakar.Maka jawapan dari soalan adakah harus solat di dalam masjid yang ada (dhorih) kubur?.Maka jawapannya solat di dalamnya adalah harus, masjid juga dibina diatasnya adalah harus dan kubur tersebut adalah harus dan di zaman Rasulullah pernah dibina masjid didalamnya terdapat kubur Abu Basir.Manakala erti hadith dalam sohih Bukhari yang menyatakan “Allah melaknat Yahudi dan Nasaro yang menjadikan kubur para nabi dan wali sebagai masjid”.Hadith tersebut bererti yahudi sujud kepada kubur dan bukan sujud kepada Allah, mereka menganggap uzair itu adalah anak Allah dan begitu juga kristian mereka sujud kepada kubur dan beranggapan bahawa Isa itu anak Allah, inilah erti hadith tersebut.
Sekiranya kita pergi ke Batikan (nama tempat Yahudi) kita akan dapati bahawa mereka berlumba-lumba sujud kepada kubur-kubur tersebut kemudian mereka tinggalkan.
Makala hukum membina masjid atas kubur (menjadikan didalamnya ada kubur) maka hukumnya adalah harus.
Iman Baidhowi menyatakan demikian adalah antara qurubat iaitu kebaikan mendekatkan diri kepada Allah. Ada beza antara masjid yang diertikan seseorang itu sujud kepada kubur dan dibina di atasnya masjid.Ada kelompok bernama Wahhabiyah, satu ketika Wahhabiyah mahu keluar dari pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, tapi Nabi menyatakan “Tiada sesiapa boleh keluar dari Khalifah” (makna Hadith).
Wahhabiyah pun merancang untuk keluar dari khalifah dan meraka dapati caranya adalah dengan mengkafirkan khalifah islam tersebut dan mereka merancang bagaimana nak dihukumkan khalifah tersebut sebagai kafir supaya akhirnya dia dibunuh, perancangan Wahhabiyah mengkafirkan dan menjatuhkan daulah Uthmaniyah berjaya dilakukan dan khalifah terbunuh.
Kemudian Wahhabiyah menjatuhkan Daulah Uthmaniyah dan Wahhabiyah saling tolong menolong dengan negara kafir Barat dan France, kemudian berlakulah fitnah kucar kacir sehingga kini disebabkan perbuatan Wahhabiyah tersebut.

Kami menyatakan wahai seluruh orang muslimin. Lihat lah apa ulama-ulama islam katakan, lihat kata-kata Imam Baidhowi, lihat kata-kata Imam Ibnu Hajar , lihat kata-kata Imam Syaukani! Ditangan-tangan kita bukti jelas dari kitab-kitab! “.

-- tamat terjemahan --
(harap sesiapa yg boleh betulkan lagi terjemahan amatlah dialu-alukan).

Semoga Allah merahmati umat islam.

*Bagi mereka yang menuduh kenyataan membongkar ajaran Wahhabiyah ini adalah fitnah. Sila datangkan bukti kerana saya telah menjelaskan secara berbukti dan fakta yang lengkap.

Wallahu ta’ala ‘alam Wa A’la.

Mantap Akidah Hindari Ajaran Songsang

Alhamdulillah, Tuhan Pencipta alam, WujudNya azali abadi tanpa permulaan dan tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad, para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Tidak syak lagi dalam dunia ilmu Islam, akidah merupakan satu-satunya asas kepada segala jenis ilmu Islam. Apabila wujudnya satu fahaman baru dalam sejarah Islam kesemua para ilmuan Islam yang mendalami segala jenis ilmu akan merujuk kepada asas akidah fahaman baru tersebut bagi mengetahui sejauh mana kebenaran mahupun kebatilan fahaman itu.

Akidah Sebenar
Ringkasan akidah Islam sebenar yang perlu diperingatkan kepada semua adalah mempercayai bahawa Allah sebagai Tuhan yang berhak disembah, wujudnya Allah adalah tidak menyerupai dengan segala makhlukNya sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“ Tiada sesuatupun menyerupai Allah ”[1].
Allah tidak memerlukan kepada Arash mahupun tempat untuk diduduki, kerana duduk dan bertempat merupakan sifat yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran mahupun Al-Hadith serta bercanggah dengan hukum akal bahkan satu-satu pemesongan akidah Islam yang dinamakan “tashbihullah bi kholqihi” (menyamakan Allah dengan makhlukNya).
Mesti mempercayai bahawa Allah Pencipta segalanya termasuk amalan manusia, ini telah dinyatakan dalam surah As-Shofat ayat 96 yang bermaksud :
“Dan Allah lah mencipta kamu dan mencipta amalan kamu”.
Diwajibkan percaya bahawa Muhammad bin Abdullah merupakan utusan Allah kepada manusia dan jin, harus menziarahi makam baginda, harus bertawassul dengan baginda dan harus jua menyambut maulid baginda yang diisikan didalam sambutan maulid tersebut dengan bacaan Al-Quran, kisah sejarah perjuangan baginda, memuji baginda dengan nasyid dan sebagainya. Diwajibkan juga mencintai Rasulullah dan para sahabat baginda termasuk kesemua para khalifah Islam dikalangan sahabat tanpa mencemuh ataupun menghina mereka.

Inilah diantara sebahagian ilmu yang perlu dipercayai bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadith serta Ijmak ulamak . Jika dilihat pada masa sekarang mula berlakunya pemalsuan nama Ahlussunnah Wal Jamaah dan sebahagian besar Akidatul Haq tersebut telah diterbalikkan dan diserang habis-habisan oleh golongan yang digelar sebagai Wahhabi[2]. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya JAKIM, JAIS dan YADIM mengambil keputusan yang tegas bagi membenteras fahaman Wahhabi dinegara kita ini.

Jika dilihat kajian ulama’ Ahlussuunnah Wal Jamaah dari seluruh pelusuk negara islam termasuk negara Saudi Arabia mengenai ideologi Wahhabiyah, mereka membahagikan kajian kepada tiga :
1- Fahaman Akidah Wahhabi.
2- Pendekatan Fiqh Wahhabi.
3- Method Dakwah Wahhabi.

1- Fahaman Akidah Wahhabi

Pengkaji sejarah ajaran Wahhabi mendapati fahaman ini mirip kepada sistem akidah dibawa oleh seorang bergelar Jahmu bin Sofwan. Dia meletakkan sistem akidahnya yang celaru berdasarkan kaedah yang digelar “tasybih la tasybih” atau “tajsim la tajsim” iaitu menyamakan dan mentajsimkan Allah dengan makhlukNya kemudian dihujung kenyataan tersebut menafikan pula. Ini dikenali oleh ulama tauhid sebagai “tamwih” iaitu berdusta dengan cara memutar belit fakta. Asas akidah Wahhabi adalah memilih seluruh ayat mutasyabihat sebagai sumber rujukan utama akidah dan membelakangi ayat muhkamat dengan hanya mempercayai zahir maknanya sahaja. Inilah punca utama asas sistem akidah mereka terpesong dari akidah Islam.
Diantara akidah golongan Wahhabi yang jelas bercanggah dengan akidah salaf dan khalaf serta bercanggah dengan akidah islam adalah :

1- Wahhabi mempercayai bahawa Allah duduk diatas Kursi.

Lihat kitab Wahhabi Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid m/s 485 cetakan Maktabah Muayyad dan Maktabah Darul Bayan karangan Abdur Rahman bin Hasan yang merupakan cucu kepada Muhammad bin Abdul Wahhab. Ini merupakan akidah yang bercanggah dengan islam kerana menyamakan Allah dengan makhlukNya, ianya juga tidak dinyatakan dalam Al-Quran dan Al-Hadith serta bercanggah dengan usul keimanan mensucikan Allah dari sifat makhlukNya sepertimana dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al-Ikhlas ayat 4 yang bermaksud : “ Dan tiadalah bagiNya persamaan dengan sesuatu ”.

2- Wahhabi beriktikad bahawa Arash merupakan tempat bagi zat Allah.

Lihat kitab yang sama m/s 627, 629. Ini merupakan mirip kepada akidah yahudi yang sering menyatakan perkara sama di dalam kitab Injil Muharrafah mereka. Sedangkan akidah Islam perihal kewujudan Allah adalah Dia tidak memerlukan tempat kerana Dia yang mencipta tempat maka wujudNya tidak di tempat dan akidah Wahhabi bercanggah dengan sabda Rasulullah yang bermaksud : “ Dan Engkau Ya Allah, Yang Az-Zhohir, maka tiada sesuatu diatasMu, dan Engkau Ya Allah, Yang Al-Bathin, maka tiada sesuatu dibawahMu ”. Sohih Muslim.

Didalam hadith yang sama riwayat Imam Baihaqi didalam kitab beliau yang berjudul Al- Asma’ Wa As-shifat m/s 400 dinyatakan selepas sabda Nabi : “ Maka, jika diatas Allah tiada sesuatu dan dibawahNya pula tiada sesuatu ini menunjkkan bahawa Allah bukan ditempat ”.

3- Wahhabi menyatakan bahawa Allah mempunyai kedua belah kaki dan Allah akan meletakkan kakiNya didalam api neraka.
Lihat kitab Syarah Tafsir Ayatul Kursy oleh Soleh Uthaimin m/k 19 cetakan Maktabah Ibnu Jauzy . Ini merupakan persamaan Allah dengan makhlukNya dan ia jelas bercanggah dengan akidah islam kerana Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 74 yang bermaksud : “ Maka janganlah kamu menyamakan Allah ”.

Ini semua merupakan akidah tasybih, dibawa serta diakui oleh mereka sendiri sedangkan ianya bercanggah dengan akidah Islam yang menafikan sifat kaki, bertempat dan duduk bagi Allah Ta’ala. Sekiranya hendak saya nyatakan kesemua, maka kita akan dapati lebih dari 20 perkara akidah mereka terpesong dari landasan akidah para Nabi, sahabat, ulama Islam dan seluruh umat Islam sedunia yang lebih ramai bilangannya dari puak Wahhabi.

2- Pendekatan Fiqh Wahhabi
Dalam segi fekah, golongan Wahhabi mirip kepada Al-La Mazhabiyah iaitu yang mengetepikan dari mengikut hukum hakam yang telah di istimbatkan oleh mana-mana mazhab muktabar dalam Islam. Walaupun demikian mereka tetap mendakwa sebagai pengikut mazhab Hambali untuk mengaburi mata masyarakat agar tidak membenci mereka. Tujuan mereka agar kesemua umat Islam mengikut mereka dari segala aspek hukum dan akidah.

Selain itu hukum bid’ah membid’ah juga menjadi cara utama mereka dalam menetapkan sesuatu hukum. Contohnya, Wahhabi membid’ahkan dan menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan yahudi. Lihat kitab At-Tauhid karangan Soleh bin Fauzan m/s 116 cetakan Riyadh, Saudi. Ini membawa kepada kekecohan umat islam sejagat. Sedangkan hukumnya adalah diharuskan kerana Rasulullah telah bersabda apabila ditanya mengenai puasa sunat hari Isnin baginda menjawab : “ Hari itu adalah hari kelahiranku ”. HR Sohih Muslim.

Begitu juga mereka mengharamkan pengkhususan solat dan puasa pada nisfu sya’ban. Lihat kitab yang sama m/s 101. Kenyataan yang popular dari kalangan Wahhabi ini sebenarnya jelas bercanggah dengan hadith yang bermaksud : “ Apabila tiba malam nisfu sya'ban maka bangunlah pada malamnya (qiamullai) dan berpuasalah pada siangnya” .
Hadith riwayat Ibnu Majah.
Sememangnya dari segi fekah, cara pendekatan mereka cukup terkenal dengan hukum hakam yang ganjil. Jika hendak disenaraikan disini tidak mencukupi kerana ianya melebihi puluhan perkara.


3- Method Dakwah Wahhabi
Sering kita mendengar dari golongan ini seruan dakwah salafi. Bagi mereka, selain dari Wahhabi sememangnya tidak mengikut cara dakwah Islam yang berlandaskan ajaran salaf. Seolah-olah hanya mereka sahajalah berada dalam landasan sirot mustaqim. Akan tetapi, pada hakikatnya mereka banyak terpesong dari cara dakwah salaf yang sebenar. Lihat sahaja cara dakwah mereka mengkafirkan golongan Islam yang bergelar Asya’irah. Lihat pengkafiran Wahhabi terhadap golongan Islam Asya’irah dalam kitab Wahhabi berjudul Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid karangan Abdur Rahman bin Hasan bin Muhammad bin Abdul Wahhab m/s 453. Begitu juga Wahhabi menyatakan bahawa Asya’irah bukan dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Lihat kenyataan Soleh bin Fauzan dalam kitabnya Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam m/s 32 terbitan Riasah ‘Ammah Lil Ifta. Sedangkan umat islam sekarang berpegang dengan Asya’irah dan Asya’irah lah merupakan Ahlus Sunnah Waljamaah sepertimana yang ditegaskan oleh ulama’ terkemuka Al-Hafiz Al-Murtadho Az-Zabidi didalam kitab Itham Sadutul Muttaqin bahawa : “ Apabila dinyatakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah maka mereka adalah Asya’irah dan Al-Maturidy ”.

Dengan ini tidak harus menamakan Wahhabi sebagai puak salafi, tetapi perlulah dinamakan mereka sebagai puak Wahhabi walaupun mereka menafikan nama tersebut kerana ulama salaf tidak bermethodkan dakwah mereka seperti Wahhabi.
Semoga kita terselamat dari terjerbak dalam kancah kesesatan.


*Demikian merupakan nota ringkas bagi memudahkan pemahaman.
Penjelasan terperinci mengenai risalah ini hendaklah dirujuk kepada penyusun nota.
[1] As-Syura ayat 11
[2] Wahhabi adalah istilah yang diberikan kepada pengikut ajaran Muhammad Bin Abdul Wahhabi An-Najdy yang banyak membawa fahaman mengkafirkan dan menghukum bid’ah kepada umat islam. Dinyatakan gerakan ini sebagai salah satu contoh ajaran yang menyimpang dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bukan meraka sahaja bahkan ramai lagi seperti Syiah, Hizbut Tahrir dan lain-lain.