Tuesday, July 3, 2007

Mantap Akidah Hindari Ajaran Songsang

Alhamdulillah, Tuhan Pencipta alam, WujudNya azali abadi tanpa permulaan dan tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad, para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Tidak syak lagi dalam dunia ilmu Islam, akidah merupakan satu-satunya asas kepada segala jenis ilmu Islam. Apabila wujudnya satu fahaman baru dalam sejarah Islam kesemua para ilmuan Islam yang mendalami segala jenis ilmu akan merujuk kepada asas akidah fahaman baru tersebut bagi mengetahui sejauh mana kebenaran mahupun kebatilan fahaman itu.

Akidah Sebenar
Ringkasan akidah Islam sebenar yang perlu diperingatkan kepada semua adalah mempercayai bahawa Allah sebagai Tuhan yang berhak disembah, wujudnya Allah adalah tidak menyerupai dengan segala makhlukNya sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“ Tiada sesuatupun menyerupai Allah ”[1].
Allah tidak memerlukan kepada Arash mahupun tempat untuk diduduki, kerana duduk dan bertempat merupakan sifat yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran mahupun Al-Hadith serta bercanggah dengan hukum akal bahkan satu-satu pemesongan akidah Islam yang dinamakan “tashbihullah bi kholqihi” (menyamakan Allah dengan makhlukNya).
Mesti mempercayai bahawa Allah Pencipta segalanya termasuk amalan manusia, ini telah dinyatakan dalam surah As-Shofat ayat 96 yang bermaksud :
“Dan Allah lah mencipta kamu dan mencipta amalan kamu”.
Diwajibkan percaya bahawa Muhammad bin Abdullah merupakan utusan Allah kepada manusia dan jin, harus menziarahi makam baginda, harus bertawassul dengan baginda dan harus jua menyambut maulid baginda yang diisikan didalam sambutan maulid tersebut dengan bacaan Al-Quran, kisah sejarah perjuangan baginda, memuji baginda dengan nasyid dan sebagainya. Diwajibkan juga mencintai Rasulullah dan para sahabat baginda termasuk kesemua para khalifah Islam dikalangan sahabat tanpa mencemuh ataupun menghina mereka.

Inilah diantara sebahagian ilmu yang perlu dipercayai bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadith serta Ijmak ulamak . Jika dilihat pada masa sekarang mula berlakunya pemalsuan nama Ahlussunnah Wal Jamaah dan sebahagian besar Akidatul Haq tersebut telah diterbalikkan dan diserang habis-habisan oleh golongan yang digelar sebagai Wahhabi[2]. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya JAKIM, JAIS dan YADIM mengambil keputusan yang tegas bagi membenteras fahaman Wahhabi dinegara kita ini.

Jika dilihat kajian ulama’ Ahlussuunnah Wal Jamaah dari seluruh pelusuk negara islam termasuk negara Saudi Arabia mengenai ideologi Wahhabiyah, mereka membahagikan kajian kepada tiga :
1- Fahaman Akidah Wahhabi.
2- Pendekatan Fiqh Wahhabi.
3- Method Dakwah Wahhabi.

1- Fahaman Akidah Wahhabi

Pengkaji sejarah ajaran Wahhabi mendapati fahaman ini mirip kepada sistem akidah dibawa oleh seorang bergelar Jahmu bin Sofwan. Dia meletakkan sistem akidahnya yang celaru berdasarkan kaedah yang digelar “tasybih la tasybih” atau “tajsim la tajsim” iaitu menyamakan dan mentajsimkan Allah dengan makhlukNya kemudian dihujung kenyataan tersebut menafikan pula. Ini dikenali oleh ulama tauhid sebagai “tamwih” iaitu berdusta dengan cara memutar belit fakta. Asas akidah Wahhabi adalah memilih seluruh ayat mutasyabihat sebagai sumber rujukan utama akidah dan membelakangi ayat muhkamat dengan hanya mempercayai zahir maknanya sahaja. Inilah punca utama asas sistem akidah mereka terpesong dari akidah Islam.
Diantara akidah golongan Wahhabi yang jelas bercanggah dengan akidah salaf dan khalaf serta bercanggah dengan akidah islam adalah :

1- Wahhabi mempercayai bahawa Allah duduk diatas Kursi.

Lihat kitab Wahhabi Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid m/s 485 cetakan Maktabah Muayyad dan Maktabah Darul Bayan karangan Abdur Rahman bin Hasan yang merupakan cucu kepada Muhammad bin Abdul Wahhab. Ini merupakan akidah yang bercanggah dengan islam kerana menyamakan Allah dengan makhlukNya, ianya juga tidak dinyatakan dalam Al-Quran dan Al-Hadith serta bercanggah dengan usul keimanan mensucikan Allah dari sifat makhlukNya sepertimana dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al-Ikhlas ayat 4 yang bermaksud : “ Dan tiadalah bagiNya persamaan dengan sesuatu ”.

2- Wahhabi beriktikad bahawa Arash merupakan tempat bagi zat Allah.

Lihat kitab yang sama m/s 627, 629. Ini merupakan mirip kepada akidah yahudi yang sering menyatakan perkara sama di dalam kitab Injil Muharrafah mereka. Sedangkan akidah Islam perihal kewujudan Allah adalah Dia tidak memerlukan tempat kerana Dia yang mencipta tempat maka wujudNya tidak di tempat dan akidah Wahhabi bercanggah dengan sabda Rasulullah yang bermaksud : “ Dan Engkau Ya Allah, Yang Az-Zhohir, maka tiada sesuatu diatasMu, dan Engkau Ya Allah, Yang Al-Bathin, maka tiada sesuatu dibawahMu ”. Sohih Muslim.

Didalam hadith yang sama riwayat Imam Baihaqi didalam kitab beliau yang berjudul Al- Asma’ Wa As-shifat m/s 400 dinyatakan selepas sabda Nabi : “ Maka, jika diatas Allah tiada sesuatu dan dibawahNya pula tiada sesuatu ini menunjkkan bahawa Allah bukan ditempat ”.

3- Wahhabi menyatakan bahawa Allah mempunyai kedua belah kaki dan Allah akan meletakkan kakiNya didalam api neraka.
Lihat kitab Syarah Tafsir Ayatul Kursy oleh Soleh Uthaimin m/k 19 cetakan Maktabah Ibnu Jauzy . Ini merupakan persamaan Allah dengan makhlukNya dan ia jelas bercanggah dengan akidah islam kerana Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 74 yang bermaksud : “ Maka janganlah kamu menyamakan Allah ”.

Ini semua merupakan akidah tasybih, dibawa serta diakui oleh mereka sendiri sedangkan ianya bercanggah dengan akidah Islam yang menafikan sifat kaki, bertempat dan duduk bagi Allah Ta’ala. Sekiranya hendak saya nyatakan kesemua, maka kita akan dapati lebih dari 20 perkara akidah mereka terpesong dari landasan akidah para Nabi, sahabat, ulama Islam dan seluruh umat Islam sedunia yang lebih ramai bilangannya dari puak Wahhabi.

2- Pendekatan Fiqh Wahhabi
Dalam segi fekah, golongan Wahhabi mirip kepada Al-La Mazhabiyah iaitu yang mengetepikan dari mengikut hukum hakam yang telah di istimbatkan oleh mana-mana mazhab muktabar dalam Islam. Walaupun demikian mereka tetap mendakwa sebagai pengikut mazhab Hambali untuk mengaburi mata masyarakat agar tidak membenci mereka. Tujuan mereka agar kesemua umat Islam mengikut mereka dari segala aspek hukum dan akidah.

Selain itu hukum bid’ah membid’ah juga menjadi cara utama mereka dalam menetapkan sesuatu hukum. Contohnya, Wahhabi membid’ahkan dan menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan yahudi. Lihat kitab At-Tauhid karangan Soleh bin Fauzan m/s 116 cetakan Riyadh, Saudi. Ini membawa kepada kekecohan umat islam sejagat. Sedangkan hukumnya adalah diharuskan kerana Rasulullah telah bersabda apabila ditanya mengenai puasa sunat hari Isnin baginda menjawab : “ Hari itu adalah hari kelahiranku ”. HR Sohih Muslim.

Begitu juga mereka mengharamkan pengkhususan solat dan puasa pada nisfu sya’ban. Lihat kitab yang sama m/s 101. Kenyataan yang popular dari kalangan Wahhabi ini sebenarnya jelas bercanggah dengan hadith yang bermaksud : “ Apabila tiba malam nisfu sya'ban maka bangunlah pada malamnya (qiamullai) dan berpuasalah pada siangnya” .
Hadith riwayat Ibnu Majah.
Sememangnya dari segi fekah, cara pendekatan mereka cukup terkenal dengan hukum hakam yang ganjil. Jika hendak disenaraikan disini tidak mencukupi kerana ianya melebihi puluhan perkara.


3- Method Dakwah Wahhabi
Sering kita mendengar dari golongan ini seruan dakwah salafi. Bagi mereka, selain dari Wahhabi sememangnya tidak mengikut cara dakwah Islam yang berlandaskan ajaran salaf. Seolah-olah hanya mereka sahajalah berada dalam landasan sirot mustaqim. Akan tetapi, pada hakikatnya mereka banyak terpesong dari cara dakwah salaf yang sebenar. Lihat sahaja cara dakwah mereka mengkafirkan golongan Islam yang bergelar Asya’irah. Lihat pengkafiran Wahhabi terhadap golongan Islam Asya’irah dalam kitab Wahhabi berjudul Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid karangan Abdur Rahman bin Hasan bin Muhammad bin Abdul Wahhab m/s 453. Begitu juga Wahhabi menyatakan bahawa Asya’irah bukan dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Lihat kenyataan Soleh bin Fauzan dalam kitabnya Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam m/s 32 terbitan Riasah ‘Ammah Lil Ifta. Sedangkan umat islam sekarang berpegang dengan Asya’irah dan Asya’irah lah merupakan Ahlus Sunnah Waljamaah sepertimana yang ditegaskan oleh ulama’ terkemuka Al-Hafiz Al-Murtadho Az-Zabidi didalam kitab Itham Sadutul Muttaqin bahawa : “ Apabila dinyatakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah maka mereka adalah Asya’irah dan Al-Maturidy ”.

Dengan ini tidak harus menamakan Wahhabi sebagai puak salafi, tetapi perlulah dinamakan mereka sebagai puak Wahhabi walaupun mereka menafikan nama tersebut kerana ulama salaf tidak bermethodkan dakwah mereka seperti Wahhabi.
Semoga kita terselamat dari terjerbak dalam kancah kesesatan.


*Demikian merupakan nota ringkas bagi memudahkan pemahaman.
Penjelasan terperinci mengenai risalah ini hendaklah dirujuk kepada penyusun nota.
[1] As-Syura ayat 11
[2] Wahhabi adalah istilah yang diberikan kepada pengikut ajaran Muhammad Bin Abdul Wahhabi An-Najdy yang banyak membawa fahaman mengkafirkan dan menghukum bid’ah kepada umat islam. Dinyatakan gerakan ini sebagai salah satu contoh ajaran yang menyimpang dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bukan meraka sahaja bahkan ramai lagi seperti Syiah, Hizbut Tahrir dan lain-lain.

No comments: